Saturday, November 10, 2012

Teknik Menyoal - Hasil penyelidikan di empat buah sekolah menengah daerah Hulu Langat selangor 2011


Teknik menyoal merupakan antara teknik yang banyak diaplikasikan oleh guru-guru seni di sekolah. Penyelidik mendapati bahawa aplikasi teknik menyoal dalam P&P PSV dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Teknik penyoalan dilaksanakan oleh guru-guru seni dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Guru-guru mempunyai kebolehan dan keyakinan dalam mengaplikasikan teknik-teknik menyoal di dalam P&P PSV di dalam kelas ataupun di dalam bilik seni.

Guru A mengaplikasikan teknik menyoal apabila guru bersoal jawab secara kelas dan tidak ditujukan khusus kepada seorang pelajar menyebabkan seringkali pelajar menjawab beramai-ramai. Guru bertanya kepada para pelajar sama ada telah faham tentang konsep kontra? Guru bersoal jawab berkaitan kontra dengan pelajar melalui 2 bongkah buah kotak yang diperlihatkan itu. Guru menyoal dengan apakah kaitan kontra dengan 2 buah kotak yang sedang cikgu perlihatkan ini? Pelajar lelaki telah menjawab bahawa kotak itu mempunyai perbezaan dari segi saiz, warna dan betuk. Guru menyoal secara kelas apakah yang telah pelajar pelajari pada hari ini? Pelajar-pelajar menjawab serentak bahawa mereka telah belajar tentang kontra yang mana boleh dibezakan melalui saiz, bentuk, jalinan dan warna.
Guru B mengaplikasikan teknik menyoal apabila guru bertanya kepada para pelajar selamat hari apa untuk dihasilkan kad ucapan? Pelajar tidak memberikan jawapan kerana masing-masing menyediakan bahan-bahan yang disuruh oleh guru sebentar tadi. Guru bertanya lagi tentang penghasilan kad ucapan itu apakah teknik yang akan digunakan? Terdapat 2 atau 3 orang pelajar perempuan menjawab pertanyaan guru itu dengan mengatakan akan menggunakan teknik basah atas basah, kering atas basah atau kering atas kering. Sambil itu guru menulis jawapan pelajar-pelajar itu di papan putih.

Guru C mengaplikasikan teknik menyoal apabila guru meminta pelajar membezakan antara sebuah karya catan dengan lukisan seekor gajah yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang lepas. Guru menyoal secara kelas apakah perbezaan di antara dua karya yang sedang diperlihatkan. Guru menyoal mengapa orang zaman dahulu tidak menggunakan warna cat air? Pelajar menjawab secara beramai-ramai tidak ada lagi warna cat air ketika itu. Guru Bersoal jawab berkaitan dengan ciri-ciri cat poster. Pelajar menjawab dengan membuat rujukan dalam buku rujukan PSV tingkatan dua. Guru bersoal jawab mengenai sejarah catan. Guru menyoal kepada pelajar bilakah sejarah catan bermula? Pelajar melihat buku rujukan dan menjawab pada zaman Yunani purba dan zaman Renaissance. Guru melanjutkan pertanyaan tentang zaman Renaissance. Terdapat pelajar dari kumpulan lelaki yang menjawab pada zaman pertengahan dan guru menambah jawapan pelajar bahawa zaman Renaissance adalah zaman kemuncak seni di Eropah. Seterusnya guru bertanya tentang catan di Malaysia iaitu siapakah tokoh-tokoh pelukis terkenal Malaysia?

Beberapa teknik penyoalan diaplikasikan oleh guru-guru dalam bahagian menyoal secara kumpulan. Teknik menyoal secara lebih terperinci dan menjurus kepada perincian-perincian dalam isi kandungan pelajaran diaplikasikan oleh guru-guru seni. Selain itu pada peringkat ini soalan digunakan untuk menduga kefahaman pelajar mengenai bahan pelajaran yang dibincangkan memastikan penyertaan pelajar yang aktif mengekalkan minat pelajar serta tumpuan perhatian mereka.

Guru B pula memulakan soal jawab dengan kumpulan lelaki apabila guru bersoal jawab dengan pelajar-pelajar lelaki tentang strawberry. Guru bertanya secara umum bahawa strawberry mempunyai kaitan apa untuk membuat kad ucapan. Seorang pelajar lelaki menjawab dengan hari alam sekitar dan seorang pelajar lain mengaitkan strawberry dengan hari buah-buahan. Guru tertarik dengan jawapan pelajar tentang hari buah-buahan dengan menyoal kumpulan pelajar lelaki, ada ke hari buah-buahan? Pelajar lelaki yang lain menjawab tidak ada kad ucapan untuk hari buah-buahan. Begitu juga dengan kumpulan perempuan yang mana sepanjang sesi melakar dan mewarna oleh guru, pelajar-pelajar perempuan sentiasa mengemukakan soalan-soalan tentang melakar dan mewarna. Guru menjawab soalan-soalan daripada pelajar perempuan dengan membuat penerangan sambil melukis seterusnya mewarna.
Guru D menggunakan teknik menyoal dengan tujuan untuk mengetahui cara-cara memperkemaskan warna-warna pada sudut-sudut tertentu pada lakaran objek di atas kain rentang. Guru menyoal pelajar bagaimana untuk memperkemaskan lagi warna-warna di bahagian-bahagian objek yang perlu diwarnakan? Selain guru menyoal, pelajar juga mengemukakan soalan-soalan kepada guru dan setiap soalan yang pelajar kemukakan akan dijawab oleh guru dengan terperinci. Guru E mengaplikasikan teknik menyoal dalam kumpulan apabila guru bersoal jawab dengan kumpulan pelajar tentang cara-cara mewarna yang betul di atas arca timbulan seramik dengan menggunakan media cat poster. Guru menggunakan teknik menyoal untuk mengembangkan potensi pelajar agar dapat mewarnakan arca timbulan seramik mengikut cara mewarna menggunakan media cat poster. Guru E menggunakan teknik menyoal dengan nada dan intonasi yang perlahan tetapi dapat didengari oleh semua ahli kumpulan. Semasa menyoal, guru juga memandang tepat kepada setiap pelajar dalam ahli kumpulan. Teknik soalan itu dapat menyatakan kepada pelajar bahawa guru mengambil berat terhadap semua kegiatan yang telah pelajar lakukan.
Terdapat beberapa situasi yang mana guru bersoal jawab dengan pelajar secara kelas. Soal jawab secara kelas ini ialah guru mengemukakan soalan-soalan kepada para pelajar dan pelajar menjawab sama ada secara individu atau pun beramai-ramai. Soalan-soalan yang guru kemukakan kepada para pelajar adalah umum yang mana memerlukan semua pelajar di dalam kelas atau pun bilik seni akan membuat satu jawapan dengan situasi pelajar-pelajar berselang silih untuk menjawab soalan guru mengikut pengetahuan para pelajar. Teknik penyoalan secara spontan untuk menarik perhatian dan minat pelajar ada diaplikasikan oleh semua guru. Teknik penyoalan yang mana soalan tidak lengkap kemudian dilengkapkan oleh pelajar-pelajar juga ada diaplikasikan bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman pelajar tentang sesuatu isi pelajaran. Teknik-teknik penyoalan secara kelas yang diaplikasikan oleh guru-guru adalah bersesuaian dengan aras soalan di peringkat permulaan pengajaran dan di bahagian langkah penerangan isi kandungan pelajaran iaitu mencungkil pengetahuan yang sedia ada pada pelajar mengaitkan pelajaran lepas dengan pelajaran baru menumpukan perhatian serta minat pelajar pada pelajaran yang akan dipersembahkan.

Rumusan terhadap teknik menyoal hasil daripada pemerhatian terhadap menyoal secara kelas, menyoal dalam berkumpulan dan menyoal secara individu, penyelidik mendapati bahawa terdapat beberapa teknik menyoal bertujuan ada diaplikasikan oleh guru-guru seperti teknik menyoal untuk merangsang penglibatan dan menarik minat pelajar. Teknik menyoal untuk mengulang kaji pengetahuan, menguji dan menilai kebolehan pelajar. Teknik menyoal untuk mengawal tingkah laku pelajar di dalam kelas atau pun di dalam bilik seni. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru-guru adalah terdiri daripada soalan yang mempunyai tingkat aras yang berbeza-beza mengikut isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan dan juga mengikut langka demi langkah dalam pengajaran yang dirancang. Terdapat beberapa teknik penyoalan mengikut aras yang diaplikasikan seperti soalan berbentuk pengetahuan, kefahaman, aplikasi dan penilaian.