Saturday, November 10, 2012

ASAS SENI REKA


Unsur-unsur seni dalam ASR adalah bahagian daripada komponen seni tampak. Unsur-unsur seni membantu mendefinisikan prinsip-prinsip rekaan. prinsip-prinsip rekaan tidak boleh menjadi satu prinsip tanpa elemen-elemen seni. Unsur-unsur seni memberikan para artis perbendaharaan kata untuk membantu menjelaskan tentang seni. Elemen-elemen seni dalam P&P PSV di sekolah terdiri daripada garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna
             Prinsip-prinsip rekaan dalam ASR bertindak sebagai mengorganisasikan dan mengolah unsur-unsur seni. Prinsip-prinsip rekaan digunakan untuk menimbulkan gambaran sama ada sesuatu gubahan atau karya seni mempunyai kualiti (Visual Arts Glossary, 2003). Prinsip-prinsip rekaan dalam P&P PSV di sekolah terdiri daripada Pergerakan, imbangan, harmoni, kontra, penegasan, kepelbagaian, dan kesatuan. Kegiatan berseni ini berpusatkan kepada dua objek penting iaitu bentuk dan isi. Bentuk dalam erti kata seni ialah segala tatacara, peraturan, kaedah dan susun atur dalam penghasilan sesebuah karya seni. (Mohd Johari Ab. Hamid, 2000).
            Terdapat enam unsur seni yang menjadi asas dalam seni reka iaitu Garisan, Warna, Jalinan, Rupa, Bentuk, dan Ruang. Unsur-unsur inilah yang merupakan asas di mana semua reka bentuk dicipta. Pergerakan, Imbangan, Harmoni, Kontra, Penegasan, Kepelbagaian, dan Kesatuan merupakan prinsip-prinsip rekaan. Jika hanya dengan unsur-unsur seni itu sahaja, ianya tidak akan dapat membentuk sebuah karya yang baik tanpa diorganisasikan mengikut prinsip-prinsip rekaan yang tertentu. 
            Di dalam seni tampak, garisan ialah tanda yang dihasilkan oleh  pergerakan atau goresan alat lukis di atas sesuatu permukaan yang rata. Warna-warna utama di dalam seni lukis terdiri daripada warna-warna biru, merah, dan kuing. Warna-warna sekunder dihasilkan melalui campuran dua jenis warna utama. Sekiranya satu warna utama dicampurkan dengan warna sekunder, maka terhasil warna tertier. Warna-warna penggenap merujuk kepada hubungan di antara warna utama dengan warna sekunder. Terdapat warna harmoni, nilai warna, sewarna, kroma warna, dan suhu warna. Jalinan ialah sifat fizikal yang terdapat pada permukaan bahan atau objek. Di dalam seni tampak, kesan jalinan dapat menimbulkan jisim pada bentuk. Rupa ialah sesuatu imejan yang bersifat rata. Permukaannya adalah kosong dan ini menjadikannya bersifat dua dimensi. Rupa juga terdiri daripada rupa positif dan rupa negatif. Imejan ataupun objek yang bersifat tiga dimensi dikenali sebagai bentuk. Bentuk adalah terdiri daripada dua jenis, iaitu, bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Ruang merupakan kawasan kosong atau lapang yang mengelilingi diri kita ataupun sesuatu bentuk. Terdapat dua jenis ruang dalam seni tampak, iaitu ruang nyata dan ruang ilusi. 
          Prinsip pergerakan ialah kesan tampak yang ditimbulkan daripada susunan unsur-unsur seni secara berulang-ulang atau berlapis-lapis. Imbangan ialah keadaan yang sebanding atau tidak berat sebelah. Karya-karya 2D seperti lukisan dan catan mempunyai imbangan dari segi tampak. Dalam seni tampak, harmoni dapat didefinisikan sebagai gabungan unsur-unsur seni yang sesuai dalam sesuatu gubahan untuk melahirkan karya yang menyenangkan dari segi tampak. Kontra wujud apabila terdapatnya unsur yang bertentangan dalam sesuatu gubahan. Unsur yang bertentangan itu boleh terdiri daripada satu unit ataupun beberapa unit. Penegasan menonjolkan satu idea ataupun tema di dalam sesuatu reka bentuk itu supaya ia menjadi daya tarikan utama. Dengan menggunakan unsur-unsur seni atau idea-idea yang berbagai dalam sesuatu gubahan, prinsip kepelbagaian dapat dihasilkan. Kesatuan menggabungjalinkan semua komponen seni yang berlainan dalam reka bentuk untuk membentuk satu idea. Dalam konsep seni tampak, kesatuan merupakan prinsip yang muktamad dalam semua reka bentuk.