Kaedah penerangan merupakan kaedah pengajaran yang lebih
berpusatkan kepada guru. Maksud kaedah ini ialah, guru memberi penerangan
tentang sesuatu tajuk pelajaran atau isi pengajaran secara lisan. Bagi
menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan serta memberi kefahaman kepada
pelajar, guru perlu menggunakan alat bantuan mengajar seperti gambar, carta
atau LCD di samping dapat menarik minat pelajar dalam pelajaran tersebut.
Melalui kaedah penerangan, guru perlu memastikan pelajar dapat memahami
penerangan yang disampaikan oleh guru dalam sesuatu tajuk. Semasa melaksanakan
kaedah ini, guru perlu memberi perhatian terhadap kedudukan pelajar di dalam
kelas supaya setiap individu dapat melihat guru dan mendengar percakapan guru
dengan jelas. Semasa memberi penerangan, guru perlu bertutur dengan jelas dan
terang serta menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar.
Pelaksanaan kaedah penerangan
ialah penerangan hendaklah diberikan pada masa yang sesuai seperti ketika
menyampaikan pengajaran baru. Guru hendaklah menyampaikan penerangan dengan
ringkas dan bernas. Setiap penerangan guru perlu diikuti dengan soal jawab
secara lisan atau bertulis untuk menguji kefahaman pelajar terhadap isi
pelajaran yang telah disampaikan guru. Penerangan boleh digabungjalinkan dengan
teknik-teknik lain seperti soal jawab, perbincangan supaya pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik. Kaedah-kaedah yang diperkenalkan dalam strategi
pengajaran dan pembelajaran, keseluruhannya adalah baik dan berkesan bagi setiap
guru dalam menyampaikan pengajaran. Keberkesanan kaedah ini adalah bergantung
kepada kebijaksanaan guru menyesuaikannya dengan tahap pencapaian pelajar serta
suasana persekitaran dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai.
Rujukan
Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral (2007), Buku
Panduan Pelaksanaan Model-Model Pengajaran dan Pembelajaran dan Kokurikulum,
Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ismail Abas et.al. (2007), Pengenalan Pendidikan Islam, Seri
Kembangan: UNITEM Sdn.Bhd.
Habibah@Artini Ramlie dan Rahimi Md Saad (2008), Pendidikan
Islam Tingkatan 3, Seri Kembangan : Open University Malaysia.
Kamarudin Hj Husin (1994) KBSM dan Strategi Pengajaran
Bahasa, Subang Jaya, Kumpulan Budiman.
Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral (2006), Buku
Panduan j-QAF Model Pengajaran dan Pembelajaran Islam , Kuala Lumpur:
Kementerian Pelajaran Malaysia.