Thursday, November 15, 2012

Pengajaran dan pembelajaran seni visual menurut Dicipline Base Art Education


Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Mengikut Disiplin Estetik Seni

Perbincangan boleh melibatkan pelbagai faktor dalam aspek antropologi, falsafah, sosiologi, psikologi dan sifat semula jadi seni. Perbincangan mengenai estetik memerlukan kefahaman dan penguasaan laras bahasa tampak (Dobbs, S. M, 1998). Pelajar diminta membicarakan definisi dan ciri-ciri signifikan mengenai seni melalui disiplin ini. Disiplin ini membantu pelajar membuat asas-asas penilaian sehingga mampu membuat pertimbangan mengenai seni. Pengetahuan estetik membantu pelajar membuat apresiasi tentang keindahan, keunikan atau kesalahan yang wujud pada hasil seni melalui pelbagai pengalaman estetik (Alexander et al., 1991).

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Mengikut Disiplin Kritikan Seni

Seni terbentuk dari unsur-unsur yang saling melengkapi dan digubah berlandaskan prinsip sehingga dapat diiktiraf sebagai suatu hasil seni (Alexander et al., 1991). Disiplin kritikan seni menumpukan perhatian kepada penekanan kandungan mengenai persepsi, deskripsi, analisa, interpretasi dan penilaian terhadap sesebuah karya atau produk seni (Dobbs, S. M, 1998). Terdapat tiga komponen asas dalam membuat kritikan iaitu apa yang memerlukan persepsi dan deskripsi, makna iaitu analisis atau interpretasi dan penilaian ialah pertimbangan dan penilaian.


Pengetahuan mengenai disiplin ini juga boleh dihasilkan melalui peningkatan kefahaman melalui pembacaan, penulisan, komentar yang sering diperbincangkan atau diulas oleh pengkritik seni, artis, pemerhati seni, budayawan dan sejarawan.
Kritikan seni juga melibatkan aktiviti pengamatan dan pemerhatian yang teliti tentang sesuatu karya seni. Ia merupakan keupayaan pemerhati untuk menilai, membanding dan membeza antara karya dengan mengambil kira pertimbangan terhadap semua aspek (Dobbs, S.M., 1992). Ia juga membicarakan tentang tindak balas dan persepsi orang lain atau audiens juga masyarakat terhadap seni.

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Mengikut Disiplin Sejarah Seni

Disiplin ini memusatkan pembelajaran mengenai artis dan sumbangan aktiviti seni terhadap perkembangan peradaban seni serta pengaruhnya terhadap tamadun dan budaya bangsa (Dobbs, S. M, 1998). Terdapat beberapa aspek dan peringkat pembelajaran sejarah seni iaitu belajar tentang sejarah perkembangan penghasilan seni dan peningkatan pencapaian nilai artistik melalui sejarah pergerakan aliran gaya seni (Dobbs, S.M., 1992). Menganalisis karya-karya seni masa lampau yang mendapat pengiktirafan masyarakat serta dapat dijadikan sebagai bahan rujukan atau sumber pengetahuan dan   pengalaman bagi generasi masa kini dan akan datang (Alexander et al., 1991). Menyelidik dan mengkaji karya untuk mengesan asal-usul, kesan terhadap aliran seni, artis dan mencari makna serta mengukur, menilai dan memahami karya seni dalam konteks yang luas.