Thursday, November 15, 2012

Pengajaran dan pembelajaran seni visual menurut Dicipline Base Art Education


Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Mengikut Disiplin Estetik Seni

Perbincangan boleh melibatkan pelbagai faktor dalam aspek antropologi, falsafah, sosiologi, psikologi dan sifat semula jadi seni. Perbincangan mengenai estetik memerlukan kefahaman dan penguasaan laras bahasa tampak (Dobbs, S. M, 1998). Pelajar diminta membicarakan definisi dan ciri-ciri signifikan mengenai seni melalui disiplin ini. Disiplin ini membantu pelajar membuat asas-asas penilaian sehingga mampu membuat pertimbangan mengenai seni. Pengetahuan estetik membantu pelajar membuat apresiasi tentang keindahan, keunikan atau kesalahan yang wujud pada hasil seni melalui pelbagai pengalaman estetik (Alexander et al., 1991).

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Mengikut Disiplin Kritikan Seni

Seni terbentuk dari unsur-unsur yang saling melengkapi dan digubah berlandaskan prinsip sehingga dapat diiktiraf sebagai suatu hasil seni (Alexander et al., 1991). Disiplin kritikan seni menumpukan perhatian kepada penekanan kandungan mengenai persepsi, deskripsi, analisa, interpretasi dan penilaian terhadap sesebuah karya atau produk seni (Dobbs, S. M, 1998). Terdapat tiga komponen asas dalam membuat kritikan iaitu apa yang memerlukan persepsi dan deskripsi, makna iaitu analisis atau interpretasi dan penilaian ialah pertimbangan dan penilaian.


Pengetahuan mengenai disiplin ini juga boleh dihasilkan melalui peningkatan kefahaman melalui pembacaan, penulisan, komentar yang sering diperbincangkan atau diulas oleh pengkritik seni, artis, pemerhati seni, budayawan dan sejarawan.
Kritikan seni juga melibatkan aktiviti pengamatan dan pemerhatian yang teliti tentang sesuatu karya seni. Ia merupakan keupayaan pemerhati untuk menilai, membanding dan membeza antara karya dengan mengambil kira pertimbangan terhadap semua aspek (Dobbs, S.M., 1992). Ia juga membicarakan tentang tindak balas dan persepsi orang lain atau audiens juga masyarakat terhadap seni.

Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual Mengikut Disiplin Sejarah Seni

Disiplin ini memusatkan pembelajaran mengenai artis dan sumbangan aktiviti seni terhadap perkembangan peradaban seni serta pengaruhnya terhadap tamadun dan budaya bangsa (Dobbs, S. M, 1998). Terdapat beberapa aspek dan peringkat pembelajaran sejarah seni iaitu belajar tentang sejarah perkembangan penghasilan seni dan peningkatan pencapaian nilai artistik melalui sejarah pergerakan aliran gaya seni (Dobbs, S.M., 1992). Menganalisis karya-karya seni masa lampau yang mendapat pengiktirafan masyarakat serta dapat dijadikan sebagai bahan rujukan atau sumber pengetahuan dan   pengalaman bagi generasi masa kini dan akan datang (Alexander et al., 1991). Menyelidik dan mengkaji karya untuk mengesan asal-usul, kesan terhadap aliran seni, artis dan mencari makna serta mengukur, menilai dan memahami karya seni dalam konteks yang luas.

Saturday, November 10, 2012

Catan mengikut aliran perkembangan seni visual mengikut zaman


Zaman Pertengahan

    Tidak bersifat individu, karya tidak diletakan nama pengkarya.Subjek utama: keagamaan yang terdapat dalam penceritaan kitab keagamaan. Contohnya: Kitab Bible.Catan kebanyakannya dilukis pada kulit binatang.Media: Cat air, dakwat, tempera.

Renaissance

    Perkembangan catan paling pesat pada abad ke-15 dan 16. Catan dihasilkan di gereja, bangunan awam dan rumah-rumah persendirian. Subjek utama: figura manusia dan imej agama kristian teknik utama: Chioroscuro - kesan cerah yang seolah-olah datang dari luas kanvas dari latar yang gelap dan kesamaran. Menimbulkan kesan tiga dimensi dalam ruang atmosfera.Sfumato: olahan cahaya terang gelap dan teknik kekaburan cahaya dan penggunaan warna lembut.Perspektif Linear: gambaran horizon secara sistematik untuk mempersembahkan lukisan secara tepat berdasarkan sudut pandangan mengikut aras mata dan perspektif.Media: fresco, cat minyak dan tempera

Baroque

    Subjek utama: imej keagamaan yang bersifat ilusi atau khayalan untuk membawa audiens ke syurga, figura manusia dan latar belakang seperti landskap.Teknik utama: Tenebrism - kontra terang gelap yang tinggi dan memberi kesan kepada bentuk, ruang dan kesan ke atas cerita. Contohnya, kesedihan dan simpati pada cerita yang digambarkan. Media: cat minyak

Rokoko

    Subjek utama: seni hias di istana yang melambangkan kemewahan dan kisah percintaan. Subjek diolah daripada petikan cerita-cerita hikayat dan agama dan landskap serta potret individu. Contoh: di taman-taman bunga dan dalam istana.Teknik utama: secco su fresco.Media: cat minyak

Neo-Klasik (1770-1820)

    Lahir pada penghujung abad ke-18 dan berkembang pada awal abad ke-19. Memperjuangkan moral dan kisah tentang patriotik. Memperjuangkan suara rakyat melalui anutan fahaman humanisme dan idealismenya. Subjek utama: menceritakan subjek berkaitan sejarah dan hikayat Yunani dan Romawi. Media: Cat minyak

Romantissisme (1800-1850)

    Merujuk kepada kemuliaan, sentimen terhadap wira dan kepujian terhadap sesuatu. Ia tidak merujuk kepada perkataan asal 'romance' yang mengisahkan percintaan. Subjek utama: imej sejarah, keindahan landskap, perasaan simpati, kejujuran dan suasana perang. Mementingkan ketepatan gambaran dari segi perasaan, emosi dan suasana perang. Penggunaan warna yang kelam dan murung menimbulkan karya yang lebih dramatik. Media: Cat minyak

Realisme (1850-1880)

    Menolak gambaran secara tradisional dan fiksyen. Subjek utama: rakaman alam semula jadi dan situasi sebenar kehidupan harian. Teknik merakam imej secara realistik dan mementingkan ketepatan dan kebenaran apa yang dilihat oleh mata. Media: Cat minyak

Impressionisme (1870-1880)

    Menolak gambaran secara tradisional dan khayalan dalam keagamaan. Subjek utama: rakaman alam semula jadi, kehidupan seharian dan benda-benda di persekitaran. Teknik merakam imej dengan mementingkan rakaman cahaya dan campuran warna yang mengambarkan kesan cahaya yang jatuh pada sesuatu imej yang dilukis. Media: Cat minyak

Post-Impressionisme (1880-1905)

    Menolak gambaran secara tradisional dan khayalan dalam keagamaan dan mula bersifat emosi individu. Subjek utama: rakaman alam semula jadi, kehidupan seharian dan benda-benda di persekitaran. Teknik: gabungan warna yang mementingkan kepada kajian bentuk sesuatu benda, ekspresi emosi melalui gabungan warna dan bersifat individu seperti gambaran perasaan takut, tegang dan misteri. Media: Cat minyak

Fauvisme (1905)

    Subjek utama: merakam pelbagai imej yang menggambarkan potret, figura manusia, landskap dan alam benda. Teknik: mementingkan kespontanan, penggunaan warna yang terang dan cerah. Tidak mementingkan ruang sebenar tetapi mementingkan perasaan dan emosi yang lahir ketika imej tersebut dilukis. Warna tidak natural, menggunakan warna terus daripada tiup warna. Media: Cat minyak

Ekspressionisme (1905)

    Subjek utama: merakam pelbagai imej yang menggambarkan potret, figura manusia, landskap dan alam benda. Teknik: imej dipermudahkan, diolah secara ekspresif, sapuan warna yang kasar dan garang, melahirkan luahan perasaan seperti kemaharan, menakutkan, emosional, dan imej diolah secara abstrak. Media: Cat minyak dan media campuran

Kiubisme (1907)

    Subjek utama: merakam pelbagai imej yang menggambarkan potret, figura manusia, landskap dan alam benda. Teknik: pencarian baru dan kefahaman dalam seni tampak. Subjek dipecahkan kepada pelbagai satah atau kiub. Media: Cat minyak dan media campuran.

Futurisme (1910)

    Subjek utama: merakam imej yang berkaitan dengan perkembangan teknologi, gerakan manifestasi kemajuan, teknologi dan sains. Media: Cat minyak dan media campuran

Dadaisme (1917)

    Subjek utama: gerakan yang lahir akibat Perang Dunia Pertama, menentang peperangan dan kezaliman serta protes terhadap kezaliman. Teknik: melahirkan imej yang seolah-olah tidak bermakna, iaitu gambaran kepada suasana akibat peperangan dan kehidupan manusia menjadi seolah-olah tidak bermakna. Media: Cat minyak dan media campuran

Surealisme (1920-an)

    Subjek utama imej khayalan, bawah sedar dan alam mimpi, bersifat imej simbolik. Media: Cat minyak dan media campuran

Abstrak Ekspresionisme (1940-an)

    Gerakan yang lahir akibat Perang Dunia Kedua, menentang peperangan dan kezaliman serta protes terhadap kezaliman. Luahan perasaan yang dilahirkan melalui sapuan berus yang spontan dan bebas. Melibatkan aksi dan pergerakan badan dalam penghasilan karya. Media: Cat minyak dan media campuran.

Seni Pop (1960-an)

    Gerakan yang lahir pertengahan tahun 50-an, lahir di Britain dan Amerika Syarikat. Subjek utama: imej popular seperti: artis, pemimpin, benda komersill seperti minuman coca-cola dan lain-lain. Media: Cat minyak dan media campuran

Teknik Menyoal - Hasil penyelidikan di empat buah sekolah menengah daerah Hulu Langat selangor 2011


Teknik menyoal merupakan antara teknik yang banyak diaplikasikan oleh guru-guru seni di sekolah. Penyelidik mendapati bahawa aplikasi teknik menyoal dalam P&P PSV dapat melahirkan interaksi antara guru dan pelajar secara berkesan. Teknik penyoalan dilaksanakan oleh guru-guru seni dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Guru-guru mempunyai kebolehan dan keyakinan dalam mengaplikasikan teknik-teknik menyoal di dalam P&P PSV di dalam kelas ataupun di dalam bilik seni.

Guru A mengaplikasikan teknik menyoal apabila guru bersoal jawab secara kelas dan tidak ditujukan khusus kepada seorang pelajar menyebabkan seringkali pelajar menjawab beramai-ramai. Guru bertanya kepada para pelajar sama ada telah faham tentang konsep kontra? Guru bersoal jawab berkaitan kontra dengan pelajar melalui 2 bongkah buah kotak yang diperlihatkan itu. Guru menyoal dengan apakah kaitan kontra dengan 2 buah kotak yang sedang cikgu perlihatkan ini? Pelajar lelaki telah menjawab bahawa kotak itu mempunyai perbezaan dari segi saiz, warna dan betuk. Guru menyoal secara kelas apakah yang telah pelajar pelajari pada hari ini? Pelajar-pelajar menjawab serentak bahawa mereka telah belajar tentang kontra yang mana boleh dibezakan melalui saiz, bentuk, jalinan dan warna.
Guru B mengaplikasikan teknik menyoal apabila guru bertanya kepada para pelajar selamat hari apa untuk dihasilkan kad ucapan? Pelajar tidak memberikan jawapan kerana masing-masing menyediakan bahan-bahan yang disuruh oleh guru sebentar tadi. Guru bertanya lagi tentang penghasilan kad ucapan itu apakah teknik yang akan digunakan? Terdapat 2 atau 3 orang pelajar perempuan menjawab pertanyaan guru itu dengan mengatakan akan menggunakan teknik basah atas basah, kering atas basah atau kering atas kering. Sambil itu guru menulis jawapan pelajar-pelajar itu di papan putih.

Guru C mengaplikasikan teknik menyoal apabila guru meminta pelajar membezakan antara sebuah karya catan dengan lukisan seekor gajah yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar yang lepas. Guru menyoal secara kelas apakah perbezaan di antara dua karya yang sedang diperlihatkan. Guru menyoal mengapa orang zaman dahulu tidak menggunakan warna cat air? Pelajar menjawab secara beramai-ramai tidak ada lagi warna cat air ketika itu. Guru Bersoal jawab berkaitan dengan ciri-ciri cat poster. Pelajar menjawab dengan membuat rujukan dalam buku rujukan PSV tingkatan dua. Guru bersoal jawab mengenai sejarah catan. Guru menyoal kepada pelajar bilakah sejarah catan bermula? Pelajar melihat buku rujukan dan menjawab pada zaman Yunani purba dan zaman Renaissance. Guru melanjutkan pertanyaan tentang zaman Renaissance. Terdapat pelajar dari kumpulan lelaki yang menjawab pada zaman pertengahan dan guru menambah jawapan pelajar bahawa zaman Renaissance adalah zaman kemuncak seni di Eropah. Seterusnya guru bertanya tentang catan di Malaysia iaitu siapakah tokoh-tokoh pelukis terkenal Malaysia?

Beberapa teknik penyoalan diaplikasikan oleh guru-guru dalam bahagian menyoal secara kumpulan. Teknik menyoal secara lebih terperinci dan menjurus kepada perincian-perincian dalam isi kandungan pelajaran diaplikasikan oleh guru-guru seni. Selain itu pada peringkat ini soalan digunakan untuk menduga kefahaman pelajar mengenai bahan pelajaran yang dibincangkan memastikan penyertaan pelajar yang aktif mengekalkan minat pelajar serta tumpuan perhatian mereka.

Guru B pula memulakan soal jawab dengan kumpulan lelaki apabila guru bersoal jawab dengan pelajar-pelajar lelaki tentang strawberry. Guru bertanya secara umum bahawa strawberry mempunyai kaitan apa untuk membuat kad ucapan. Seorang pelajar lelaki menjawab dengan hari alam sekitar dan seorang pelajar lain mengaitkan strawberry dengan hari buah-buahan. Guru tertarik dengan jawapan pelajar tentang hari buah-buahan dengan menyoal kumpulan pelajar lelaki, ada ke hari buah-buahan? Pelajar lelaki yang lain menjawab tidak ada kad ucapan untuk hari buah-buahan. Begitu juga dengan kumpulan perempuan yang mana sepanjang sesi melakar dan mewarna oleh guru, pelajar-pelajar perempuan sentiasa mengemukakan soalan-soalan tentang melakar dan mewarna. Guru menjawab soalan-soalan daripada pelajar perempuan dengan membuat penerangan sambil melukis seterusnya mewarna.
Guru D menggunakan teknik menyoal dengan tujuan untuk mengetahui cara-cara memperkemaskan warna-warna pada sudut-sudut tertentu pada lakaran objek di atas kain rentang. Guru menyoal pelajar bagaimana untuk memperkemaskan lagi warna-warna di bahagian-bahagian objek yang perlu diwarnakan? Selain guru menyoal, pelajar juga mengemukakan soalan-soalan kepada guru dan setiap soalan yang pelajar kemukakan akan dijawab oleh guru dengan terperinci. Guru E mengaplikasikan teknik menyoal dalam kumpulan apabila guru bersoal jawab dengan kumpulan pelajar tentang cara-cara mewarna yang betul di atas arca timbulan seramik dengan menggunakan media cat poster. Guru menggunakan teknik menyoal untuk mengembangkan potensi pelajar agar dapat mewarnakan arca timbulan seramik mengikut cara mewarna menggunakan media cat poster. Guru E menggunakan teknik menyoal dengan nada dan intonasi yang perlahan tetapi dapat didengari oleh semua ahli kumpulan. Semasa menyoal, guru juga memandang tepat kepada setiap pelajar dalam ahli kumpulan. Teknik soalan itu dapat menyatakan kepada pelajar bahawa guru mengambil berat terhadap semua kegiatan yang telah pelajar lakukan.
Terdapat beberapa situasi yang mana guru bersoal jawab dengan pelajar secara kelas. Soal jawab secara kelas ini ialah guru mengemukakan soalan-soalan kepada para pelajar dan pelajar menjawab sama ada secara individu atau pun beramai-ramai. Soalan-soalan yang guru kemukakan kepada para pelajar adalah umum yang mana memerlukan semua pelajar di dalam kelas atau pun bilik seni akan membuat satu jawapan dengan situasi pelajar-pelajar berselang silih untuk menjawab soalan guru mengikut pengetahuan para pelajar. Teknik penyoalan secara spontan untuk menarik perhatian dan minat pelajar ada diaplikasikan oleh semua guru. Teknik penyoalan yang mana soalan tidak lengkap kemudian dilengkapkan oleh pelajar-pelajar juga ada diaplikasikan bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman pelajar tentang sesuatu isi pelajaran. Teknik-teknik penyoalan secara kelas yang diaplikasikan oleh guru-guru adalah bersesuaian dengan aras soalan di peringkat permulaan pengajaran dan di bahagian langkah penerangan isi kandungan pelajaran iaitu mencungkil pengetahuan yang sedia ada pada pelajar mengaitkan pelajaran lepas dengan pelajaran baru menumpukan perhatian serta minat pelajar pada pelajaran yang akan dipersembahkan.

Rumusan terhadap teknik menyoal hasil daripada pemerhatian terhadap menyoal secara kelas, menyoal dalam berkumpulan dan menyoal secara individu, penyelidik mendapati bahawa terdapat beberapa teknik menyoal bertujuan ada diaplikasikan oleh guru-guru seperti teknik menyoal untuk merangsang penglibatan dan menarik minat pelajar. Teknik menyoal untuk mengulang kaji pengetahuan, menguji dan menilai kebolehan pelajar. Teknik menyoal untuk mengawal tingkah laku pelajar di dalam kelas atau pun di dalam bilik seni. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru-guru adalah terdiri daripada soalan yang mempunyai tingkat aras yang berbeza-beza mengikut isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan dan juga mengikut langka demi langkah dalam pengajaran yang dirancang. Terdapat beberapa teknik penyoalan mengikut aras yang diaplikasikan seperti soalan berbentuk pengetahuan, kefahaman, aplikasi dan penilaian.

KAEDAH PENERANGAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Kaedah penerangan merupakan kaedah pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru. Maksud kaedah ini ialah, guru memberi penerangan tentang sesuatu tajuk pelajaran atau isi pengajaran secara lisan. Bagi menghasilkan pengajaran yang lebih berkesan serta memberi kefahaman kepada pelajar, guru perlu menggunakan alat bantuan mengajar seperti gambar, carta atau LCD di samping dapat menarik minat pelajar dalam pelajaran tersebut. Melalui kaedah penerangan, guru perlu memastikan pelajar dapat memahami penerangan yang disampaikan oleh guru dalam sesuatu tajuk. Semasa melaksanakan kaedah ini, guru perlu memberi perhatian terhadap kedudukan pelajar di dalam kelas supaya setiap individu dapat melihat guru dan mendengar percakapan guru dengan jelas. Semasa memberi penerangan, guru perlu bertutur dengan jelas dan terang serta menggunakan bahasa yang mudah difahami pelajar.
Pelaksanaan kaedah penerangan ialah penerangan hendaklah diberikan pada masa yang sesuai seperti ketika menyampaikan pengajaran baru. Guru hendaklah menyampaikan penerangan dengan ringkas dan bernas. Setiap penerangan guru perlu diikuti dengan soal jawab secara lisan atau bertulis untuk menguji kefahaman pelajar terhadap isi pelajaran yang telah disampaikan guru. Penerangan boleh digabungjalinkan dengan teknik-teknik lain seperti soal jawab, perbincangan supaya pengajaran dan pembelajaran lebih menarik. Kaedah-kaedah yang diperkenalkan dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, keseluruhannya adalah baik dan berkesan bagi setiap guru dalam menyampaikan pengajaran. Keberkesanan kaedah ini adalah bergantung kepada kebijaksanaan guru menyesuaikannya dengan tahap pencapaian pelajar serta suasana persekitaran dan hasil pembelajaran yang hendak dicapai.

Rujukan

Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral (2007), Buku Panduan Pelaksanaan Model-Model Pengajaran dan Pembelajaran dan Kokurikulum, Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ismail Abas et.al. (2007), Pengenalan Pendidikan Islam, Seri Kembangan: UNITEM Sdn.Bhd.
Habibah@Artini Ramlie dan Rahimi Md Saad (2008), Pendidikan Islam Tingkatan 3, Seri Kembangan : Open University Malaysia.

Kamarudin Hj Husin (1994) KBSM dan Strategi Pengajaran Bahasa, Subang Jaya, Kumpulan Budiman.

Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral (2006), Buku Panduan j-QAF Model Pengajaran dan Pembelajaran Islam , Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

TEORI KECERDASAN PELBGAI HOWARD GARDNER


Teori pelbagai kecerdasan telah dikemukakan oleh Howard Gardner (1983). Beliau mengemukakan lapan kecerdasan manusia yang dapat diperkembangkan sepanjang hayat. Menurut Gardner, manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan. Beliau telah membuat kajian terhadap pelbagai lapisan masyarakat termasuklah kanak-kanak biasa dan istimewa, juga kelompok penduduk yang mempunyai kriteria yang istimewa. Gardner juga mengatakan bahawa kecerdasan bukanlah semata-mata diwarisi. Jika kedua-dua ibu bapa dikategorikan sebagai lemah daya ingatan mengikut ukuran IQ tidak semestinya anak-anak mereka juga lemah dalam daya ingatan, begitulah juga sebaliknya. Kajian terhadap kanak-kanak istimewa mendapati ada di antara murid-murid yang lemah daya ingatannya adalah dilahirkan oleh ibu bapa yang kedua-duanya adalah profesional.
Bagi mengendalikan perbezaan murid dalam aspek kebolehan mental, percubaan telah diadakan di sekolah-sekolah dan di kelas-kelas khusus, berbagai program pengajaran dan pembelajaran disediakan bagi membolehkan pelajar-pelajar mencapai sesuatu yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Bagi mengendalikan perbezaan pencapaian murid dalam pelajaran, sekolah cuba mengumpulkan murid-murid dalam kumpulan yang sama berdasarkan pencapaian mata pelajaran (Musa Daia, 1992).